Friday, August 19, 2011

Walimatulurus Seksyen 9, Shah Alam

Pada 23 Oktober 2010, Kelab Kompang Kinabalu (KKK) buat pertama kalinya pada sesi ini telah menerima jemputan untuk bermain kompang di sebuah majlis perkahwinan. Jemputan tersebut telah dibuat oleh bekas pengurus KKK ketika sesi 2007/2008 iaitu saudara Suria yang juga bekas penghuni kolej kediaman Kinabalu. Walimatulurus tersebut merupakan majlis perkahwinan sepupunya dan beliau selaku bekas ahli telah mencadangkan KKK kepada keluarga sepupunya untuk bermain kompang ketika majlis tersebut yang berlangsung di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Pada hemat pengurus, ini merupakan satu peluang yang terbaik untuk ahli-ahli baru mengalami dan merasai sendiri bermain kompang di depan orang ramai lebih-lebih lagi dalam majlis perkahwinan. Sebanyak 10 kuota diberikan kepada kelab untuk mengumpulkan ahli-ahli yang berminat untuk bermain di majlis ini. Berikut merupakan senarai kompanger yang terlibat :

i. Syammil (tahun 2)

ii. Din (tahun 3)

iii. Muadz (tahun 3)

iv. Tahir (tahun 5)

v. Afiq (tahun 2)

vi. Syihan (tahun 1)

vii. Fatan (tahun 1)

viii. Mus (cameraman kelab)

Kami bertolak dari kolej kira-kira pukul 11:00 pagi menaiki kereta Muadz dan kami tiba di Seksyen 9, Shah Alam kira-kira 11:30 pagi.

Kedatangan kami disambut oleh Suria sendiri dan kami dijemput untuk makan terlebih dahulu sementara menunggu kehadiran rombongan pihak pengantin lelaki.


Kemudian, selepas makan kami diminta untuk bersedia di lokasi untuk menyambut pihak rombongan lelaki kira-kira 50 meter dari kanopi majlis tersebut.


Kira-kira jam 1:30 petang, rombongan yang ditunggu pun tiba dan ketka itu kami telah bersiap sedia untuk melakukan pukulan “bertih” yang diketuai oleh Suria sendiri selaku pemain meranak . Menariknya, rombongan tersebut dipenuhi oleh penunggang motor “superbike” yang megah dan gagah disusuli pula sebuah kereta milik pengantin lelaki.


Gimik yang ditunjukkan oleh rombongan tersebut sememangnya amat mengujakan kami yang berdiri berhampiran dengan rombongan. Setelah rombongan selesai keluar dari kenderaan masing-masing, Suria memberikan isyarat untuk memulakan pukulan.

Kami bermain mengiringi rombongan sehingga kedua-dua mempelai bersanding di atas pelamin. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan pukulan juga tidak berterabur walaupun ada antara kami pertama kali bermain kompang di majlis perkahwinan. Sebelum kami bertolak untuk pulang ke kolej kami singgah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk solat Asar. Kami tiba di kolej kira-kira jam 3:30 petang.



1 comment: